Kanak-kanak pakai gelang getah terlalu lama sehingga bercantum dengan lengan
Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun terpaksa dibedah selepas gelang
getah yang dipakaikan di lengannya untuk jangka masa lama telah bercantum
dengan tangannya, lapor Daily Mail.
Mangsa yang dikenali sebagai Le Le, memakai gelang getah itu untuk jangka
masa yang terlalu lama sehingga menyebabkan perkara itu
berlaku.
Menurut laporan media tempatan, gelang getah itu telah bercantum dengan
tangannya lebih kurang enam bulan sejak tahun lalu.
Difahamkan, Le Le tinggal bersama datuk dan neneknya di Linquan, wilayah
Anhui, China, sementara ibu bapanya tinggal dan bekerja di wilayah
lain.
Menurut datuk dan neneknya, mereka hanya menyedari lengan Le Le
membengkak pada Januari lalu. Malah Le Le juga ada mengadu lengannya
terasa sakit dan kebas.
Ibu bapanya yang bimbang melihat keadaan tangan kanan Le Le yang bengkak
dan kemerah-merahan akhirnya membawa Le Le ke sebuah hospital sebelum
dirujuk ke Hospital Kanak-Kanak.
Doktor Ye Wensong berkata, tangan Le Le yang bengkak itu disebabkan oleh
gelang getah. Imbasan ultrasonography mengesahkan perkara itu dan Le Le
terus menjalani pembedahan yang berlangsung selama 30 minit bagi
mengeluarkan gelang getah tersebut.
Related:
Menurut Dr. Ye, dia hanya pernah melihat kejadian seperti ini 20 tahun
lalu sepanjang bekerja sebagai doktor. Dia juga menasihatkan ibu bapa
tidak membiarkan anak-anak mereka terutamanya yang berusia tiga tahun
bermain dengan gelang getah, apatah lagi memakainya di pergelangan tangan
dan lengan.