'Saya rela bvnuh dia dari beri kepada orang lain' - Ibu terpaksa bunuh anak (OKU) kerana bimbang tiada orang mahu menjaganya
CHINA - Seorang wanita warga emas dijatuhkan hukuman penjara selama tiga
tahun atas kesalahan membunuh anaknya yang kelainan upaya.
Wanita yang hanya dikenali sebagai Huang, 83, berasal dari selatan China
didapati bersalah oleh Mahkamah di Ghounzhou, wilayah Guangdong, kerana
membunuh anaknya yang berusia 46 tahun.
Bagaimanapun, alasan yang diberi oleh Huang menyebabkan mahkamah memberi
penangguhan pelaksanaan hukuman selama empat tahun.
"Walaupun dia bersalah, dia layak mendapat pengampunan," kata Wan
Yunfeng, pengerusi mahkamah dan ketua hakim.
Dalam perbicaraan kes 9 Mei lalu, Huang mendedahkan dia telah memberi 60
biji pil tidur kepada anaknya sebelum menjerut leher mangsa dengan skaf
sutera dan menutup hidungnya dengan pad kapas. Selepas melakukan perbuatan
itu, Huang menyerah diri ke balai polis.
Pada perbicaraan 21 September yang lalu, Huang mengakui dia terpaksa
membunuh anaknya, Li, 46, kerana bimbang tiada sesiapa yang mahu
menjaganya selepas dia meninggal dunia.
"Saya tidak pernah berputus asa dengannya, dia anak saya. Tetapi
kesihatan saya semakin merosot sejak dua tahun lalu menyebabkan saya sukar
untuk menjaganya.
"Saya semakin tua dan lemah. Mungkin saya mati sebelum anak saya. Saya
dapat idea untuk membunuh dia seminggu lalu," kata Huang sewaktu dia
menyerah diri kepada pihak polis.
Huang turut mengaku menulis nota sebelum memberi pil tidur kepada anaknya
dan menjelaskan bahawa tindakannya itu adalah ideanya sendiri dan tiada
kaitan dengan sesiapa. Li yang dilahirkan tidak cukup bulan dengan
beberapa kecacatan mental dan fizikal menyebabkan dia tidak boleh berjalan
serta bercakap.
Ketika perbicaraan, pendakwa raya mempersoalkan tindakan Huang yang tidak
menyerahkan Li kepada abangnya. Huang berkata, dia tidak mahu membebankan
abangnya.
"Ini salah saya sebab melahirkan Li dan membuat dia merana. Saya rela
membunuh dia dari memberi kepada orang lain," kata Huang.
Sementara itu, anak sulung Huang berkata, ibunya menjaga Li semenjak
lahir dan terpaksa berhenti kerja ketika Li berusia 10 tahun untuk
penjagaan sepenuh masa.
Hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhkan ke atasnya bagaiman
ditangguhkan pelaksanaannya selam aempat tahun.
Sumber: mStar Online