[Video] Takut guna eskalator, datuk tampar cucu sampai hidung berdarah
Kejadian yang sempat dirakam kakitangan pasar raya itu dikatakan berlaku
pada Isnin lalu di Yongzhou, wilayah Hunan.
Rakaman video menunjukkan muka mangsa berdarah sedang dirawat oleh
seorang wanita, kakitangan pasar raya berkenaan. Juga kelihatan tompokan
darah di lantai, di kaki dan baju mangsa, sementara datuk dan adik lelaki
mangsa yang berusia satu tahun hanya memerhatikan mangsa.
Namun secara tiba-tiba lelaki terbabit menolak kakitangan berkenaan lalu
menampar kepala mangsa dengan kasar sebanyak beberapa kali.
Keadaan itu memaksa dua kakitangan tampil melindungi mangsa dari terus
dipukul datuknya.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Polis Yongzhou pada tengah hari
Ahad lalu berkata, suspek telah membawa dua beradik berkenaan ke pasar
raya. Tetapi suspek menjadi berang apabila mangsa enggan menggunakan
eskalator kerana takut.
Suspek yang hilang kesabaran lalu menampar mangsa di bahagian muka
menyebabkan hidungnya berdarah sebelum dibantu oleh dua kakitangan pasar
raya berkenaan.
Dalam keterangan suspek kepada polis pula menjelaskan dia menampar mangsa
buat kali kedua kerana kanak-kanak itu enggan berhenti
menangis.
Apabila polis menghubungi dan memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapa
mangsa, mereka merayu agar polis menggugurkan kes itu. Malangnya rayuan
mereka tidak diendahkan dan suspek ditahan reman selama lima hari untuk
siasatan atas dakwaan mencederakan mangsa dengan sengaja.