7 kanak-kanak hidup dalam rumah yang kotor, malah turut menemui ulat dalam lampin bayi 18 bulan
NORTH CAROLINA - Satu pasangan telah didakwa atas pertuduhan mendera
kanak-kanak selepas pihak berkuasa menemui tujuh kanak-kanak dalam keadaan
tidak terurus dan kotor di rumah mereka, termasuk seorang bayi berusia 18
bulan dengan ulat di dalam lampin, lapor Daily Mail.
Susulan penemuan yang mengejutkan itu pada malam Jumaat lalu, Jamie Leigh
Hiatt, 25, dan Michael Patrick McKnight, 26, ditahan dan didakwa atas enam
pertuduhan mendera anak-anak mereka.
Difahamkan, McKnight adalah bapa kepada tiga orang anak, yang selebihnya
adalah anak kepada Hiatt.
Pegawai Polis Lexington berkata, ketika pihak kebajikan datang membuat
pemeriksaan, mereka menemui tujuh kanak-kanak di bawah umur enam tahun
hidup dalam keadaan yang sangat kotor dan tidak sihat.
Kapten Michael Hunt dari Jabatan Polis Lexington berkata, ketika
anggotanya masuk ke rumah itu, anggota pegawainya terhidu bau najis dan
air kencing yang sangat kuat. Malah, keadaan dalam rumah itu sangat teruk
dan menemui najis manusia dan haiwan di dalam rumah keluarga
berkenaan.
Bimbang dengan tahap kesihatan kesemua kanak-kanak itu, pasukan perubatan
telah dikerahkan ke tempat kejadian. Seorang bayi berusia setahun dan anak
kembar berusia 18 bulan dibawa Pusat Perubatan Lexington, di mana mereka
mendapati salah seorang bayi kembar itu mempunyai ulat di dalam
lampinnya.
Ketiga-tiga kanak-kanak itu kemudian dihantar ke Hospital Kanak-Kanak
Brenner untuk menerima rawatan lanjut. Manakala empat lagi kanak-kanak
berkenaan diambil dan ditempatkan di rumah saudara mara mereka atau pusat
jagaan untuk sementara waktu.
Hiatt dan McKnight dijatuhkan hukuman penjara, masing-masing dengan bon
$100,000. Pihak berkuasa berkata, caj tambahan boleh ditambah dan
kedua-duanya akan dibicarakan di mahkamah pada 20 November.