Baru Hari Pertama Kerja, Dah Rembat Barang Kemas RM50,000
KULIM, KEDAH - Baru hari pertama pekerja, seorang wanita telah mencuri
barang kemas bernilai hampir RM50,000 di sebuah kedai emas di
Kulim.
Dalam kejadian jam 6 petang di kedai Goldfinch, cawangan Tesco Kulim
semalam, suspek, Ellieya, 29, didakwa telah mencuri barang-barang kemas
tersebut semasa rakan sekerjanya pergi ke tandas.
"Dia masuk kerja 24 Mei jam 4 petang. Bila kami minta kad pengenalannya,
dia memberikan alasan terlupa bawa. Jadi kami pun kata, esok dia kena
bagi.
"Ketika seorang kakitangan pergi ke tandas, dia mengambil kesempatan itu
untuk mencuri barang-barang kemas.
"Apabila rakan sekerjanya kembali, suspek memaklumkan dia mahu keluar
makan, sebelum terus melarikan diri," kata pengendali laman
Facebook Kedai Emas Goldfinch.
Kejadian itu hanya disedari oleh kakitangan berkenaan selepas mendapati
terdapat pelbagai jenis barangan kemas bernilai hampir RM50,000 hilang,
sebelum membuat laporan polis.
Justeru, Kedai Emas Goldfinch menawarkan ganjaran RM3,000 kepada
mana-mana pihak yang berjaya menangkap suspek. - The Reporter