Wanita Ini Baru Dapat Anak Di Usia 60 Tahun, Tetapi Ditinggalkan Suami Yang Tak Tahan Dengar Suara Tangisan Bayi
SERBIA - Seorang wanita ditinggalkan suaminya selepas 20 tahun cuba
mengandung, apabila dia akhirnya disahkan mengandung pada usia 60 tahun,
lapor Daily Mail.
Lelaki berkenaan mengubah fikirannya apabila mendengar suara tangisan
bayinya di wad bersalin dan memberitahu isterinya bahawa dia terlalu tua
untuk berdepan dengan situasi kelahiran baru itu.
Serif Nokic, 68, mengambil keputusan untuk meninggalkan isterinya pada
hari pertama bayi mereka tiba di Novi Pazar, daerah Raska, barat
Serbia.
Serif memaklumkan kepada isterinya, Atifa Ljajic, tangisan bayi perempuan
mereka yang baru lahir itu akan menyebabkan dia terjaga sepanajng
malam.
Apabila ditanya tentang tindakannya meninggalkan Atifa yang baru mendapat
anak sulungnya itu, Serif berkata, "Dia dah dapat apa yang dia mahu.
Sekarang dia gembira," katanya.
Kata Serif lagi, jika dia tinggal bersama dengan bayinya itu akan
menyebabkan kesihatannya terjejas.
Atifa juga mempunyai masalah kesihatan, termasuk tekanan darah tinggi,
namun dia menegaskan dia sudah bersedia untuk membesarkan Alina seorang
diri.
"Pokoknya, saya seorang lelaki yang sakit. Saya berusia 68 tahun, pesakit
diabetes dan mempunyai hati yang lemah. Jadi bukan mudah untuk tidur
sepanjang malam dan mendengar suara tangisan bayi.
Atifa sebelum ini ditahan di wad hospital selama tiga bulan kerana
dianggap sebagai kehamilan berisiko tinggi berikutan usianya. Namun, Atifa
selamat melahirkan bayinya, Alina.
Serif mendakwa dia bersetuju dengan idea untuk mendapatkan anak itu,
walaupun pada mulanya dia menentang kehamilan tersebut. Tetapi ketika
Atifa mendukung Alina buat kali pertama di tangannya, Serif memutuskan
untuk meninggalkan keluarga barunya.
Alina juga tidak akan mempunyai nama terakhir kenada Serif enggan
mendaftarkannya sebagai anak perempuannya.
Atifa yang bekerja di kilang tekstil berkata, dia akan menyara bayinya
bersendirian walaupun dia hanya mempunyai sedikit wang.
Atifa merupakan sepupu kepada Rasim Ljajic, Menteri Perdagangan dan
Timbalan Perdana Menteri Serbia, namun berkata dia tidak mempunyai saudara
mara yang dapat membantunya.
"Walau apa pun terjadi, sama ada Serif kekal atau pergi, saya tetap akan
membesarkan Alina dengan cara yang terbaik yang saya mampu agar dia
menjadi manusia yang berguna. Saya akan hidup untuk membesarkan
dia.
"Saya tahu ini bukan perkara mudah tetapi saya percaya ada insan yang
baik akan membantu saya nanti.
Atifa yang bakal menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke-60, hampir
saja berputus asa untuk mempunyai zuriat sendiri, sebelum dimaklumkan oleh
doktor bahawa dia bakal menimang cahaya matanya sendiri selepas menjalani
rawatan kesuburan.
Impian Atifa untuk mempunyai zuriatnya sendiri akhirnya berjaya apabila
dia selamat melahirkan bayi perempuannya.
"Saya tahu ianya agak berisiko pada usia tua saya ini. Tetapi impian
mempunyai anak sendiri ini adalah harapan yang saya mahukan dalam hidup
saya.
"Saya tidak takut dengan hidup saya sama sekali, Tuhan berikan semangat
dan keberanian. Saya tak pernah rasa lebih baik dari ini,"
katanya.