'Bukannya saya paksa dia makan sebiji pisang' - Bayi 2 bulan mati akibat tercekik pisang yang disuap ibunya
Seorang bayi berusia dua bulan di Jakarta, Indonesia meninggal dunia
selepas ibunya tidak tahu bahawa bayi di bawah usia empat hingga enam
bulan tidak boleh diberikan makanan pejal dan menyuap dua anak kembarnya
dengan dua sudu buah pisang setiap seorang.
Pada keesokan harinya, si ibu mendapati salah seorang anak kembarnya
sudah tidak bernyawa dan segera membawa mangsa ke klinik berhampiran.
Pihak klinik kemudian melaporkan kematian mangsa kepada polis menyebabkan
wanita itu ditahan untuk disoal siasat.
Polis tidak menemui sebarang kesan dera pada mayat mangsa dan bedah
siasat menemui potongan buah pisang di kerongkong bayi itu.
Si ibu memaklumkan kepada polis yang dia tidak tahu bayi di bawah usia
enam bulan tidak boleh diberi makanan pejal kerana sistem penghadaman
mereka masih belum berkembang sepenuhnya.
"Anak kembar yang seorang lagi selamat, tetapi kembar sulung pula
meninggal dunia. Mungkin sudah ditakdirkan begitu?" kata si
ibu.
"Saya hanya beri kepada mereka dua sudu kecil buah pisang, bukannya saya
paksa mereka makan sebiji pisang," jelasnya.
Jurucakap polis, Erick Sitepu berkata, kejadian itu berlaku pada jam 8
malam di mana si ibu cuba memberi anak kembarnya makan buah pisang
menggunakan sudu bayi sebelum menidurkan mereka.
Polis kini sedang menyiasat sama ada kejadian itu disengajakan ataupun
tidak.
Sumber: Kidspot, World of Buzz