3 Beradik Ditinggalkan Bergelumang Dengan Najis Dalam Bilik Sewa
JOHOR BAHRU - Viral gambar tiga kanak-kanak ditinggalkan dalam bilik yang
kotor (rumah kedai) dan tidak terurus serta makan kerak nasi, mencetuskan
pelbagai reaksi netizen.
Gambar yang dimuat naik oleh Julian Abd Razak itu menunjukkan
adik-beradik masing-masing berusia 6 tahun, 4 tahun dan 2 tahun
ditinggalkan oleh ibu bapa mereka dalam keadaan yang amat
menyedihkan.
Julian berkata, ketiga-tiga kanak-kanak itu sudah beberapa hari tidak
mandi dan hanya makan kerak nasi yang dicampur dengan kicap
sahaja.
"Ibu bapa mereka dikatakan berkerja tetapi tidak menguruskan anak dahulu
sebelum pergi bekerja. Tiga beradik ini hanya ditinggalkan begitu sahaja,
bergelumang dengan najis di atas tilam.
"Saya difahamkan ibu mereka bekerja di salah sebuah kilang di Gelang
Patah. Dan bapa mereka telah diamanahkan untuk menjaga tiga beradik ini.
Tetapi ditinggalkan dalam keadaan yang tidak terurus,"
katanya.
Susulan viral itu, pihak JKM Johor Bahru bersama dengan anggota Polis
Cawangan Larkin telah datang ke kediaman tersebut.
"Anak ini sudah mendapat perhatian JKM dan telah dipindahkan ke Pusat
Jagaan Kanak-Kanak di Sultanah Aminah. Syukur pada Ilahi dipermudahkan
segala urusan," katanya pada jam 4.53 petang semalam.
Di ruangan komen, Julian menjelaskan pasangan berkenaan yang balik pada
waktu malam hairan apabila mendapati anak-anak mereka tiada di dalam
bilik, sebelum dimaklumkan oleh pemilik tempat itu mengenai apa yang
berlaku.
"Ibu bapa mereka balik pada waktu malam dan pemilik tempat itu
memaklumkan kepada mereka apa yang telah berlaku. Pada awalnya ibu bapa
mereka tidak mahu mengaku, kononnya terpaksa tinggalkan anak sebab ada
kursus. Namun kejadian ini bukan kali pertama berlaku.
"Kemudian si ibu bertanya di mana anak-anak dia. Pemilik tempat itu
memaklumkan anak-anaknya telah diambil oleh pihak JKM dan dibawa ke pusat
jagaan kanak-kanak.
"Mereka menangis teresak-esak seperti kematian anak selepas dimaklumkan.
Si ibu berkata, dia sayangkan anak-anaknya dan tiga beradik itulah
semangat dia untuk hidup dan tidak sanggup berjauhan dan mereka tidak
pernah berpisah.
"Kami hanya mampu tengok saja 'drama sedih' itu, sebelum ditenangkan oleh
pemilik tempat itu. Dalam masa yang sama dia berkata dia menyesal buat
anak-anaknya begitu.
"Saya harap mereka berdua sudah mendapat pengajarannya. Menurut info dari
JKM, mereka tidak boleh berjumpa dengan tiga beradik itu buat sementara
waktu," katanya.