Remaja Curi Basikal Ditangkap Dan Dahinya Dicacah Dengan Tatu 'Saya Adalah Pencuri'
BRAZIL - Seorang remaja ditangkap kerana mencuri pastinya akan menyesal
dengan perbuatannya itu seumur hidup selepas dahinya dicacah dengan tatu,
"Saya adalah pencuri'.
Terdahulu, remaja lelaki itu mencuri sebuah basikal dari lelaki yang
hanya mempunyai satu kaki sebelum ditangkap oleh artis tatu, Maycon
Wesley.
Selepas ditangkap, Wesley kemudian menyuruh remaja itu duduk di kerusi
dan merakam videonya mencacah tatu 'saya adalah pencuri dan loser' di
dahinya dalam bahasa Portugis.
Selesai mencacah tatu di dahinya, Wesley bertanya sama ada remaja itu
suka atau tidak.
Lapor media tempatan, remaja lelaki yang kelihatan takut apabila Wesley
mencacah tatu di dahinya, telah menghilangkan diri selepas insiden yang
berlaku pada Jumaat lalu.
Keluarga remaja berkenaan yang tertonton video anaknya yang viral di
media sosial itu kemudian membuat laporan polis dan mahu mengambil
tindakan terhadap artis tatu berkenaan.
Bertindak di atas laporan, polis kemudian menahan Wesley dan rakannya,
Ronildo Moreira de Araujo, yang turut terlibat dalam insiden itu.
Menurut Wesley dan Araujo, mereka melepaskan remaja itu selepas dicacah
dengan tatu dan tidak tahu di mana remaja itu berada sekarang.