Budak 6 tahun mati kebuluran selepas dikurung dalam almari selama 16 jam kerana mencuri makanan
Menurut laporan bedah siasat, mayat mangsa, Deshaun Martinez, hanya
mempunyai berat badan 8 kilogram berbanding 20 kilogram bagi kanak-kanak
di usia tersebut.
Ibu bapa mangsa, Elizabeth Archibeque dan Anthony Martinez serta
neneknya, Ann Martinez telah didakwa di atas tuduhan membunuh, menculik
dan mendera mangsa.
Pada kejadian Mac lalu, polis menerima panggilan kecemasan dari keluarga
berkenaan selepas Deshaun tidak sedarkan diri. Ibu bapa mangsa memaklumkan
kepada pihak berkuasa bahawa Deshaun mempunyai masalah kesihatan.
Bagaimanapun, ibu bapa Deshaun dalam keterangan kepada penyiasat mengaku
telah mengurung mangsa dan abangnya di dalam almari selama 16 jam serta
hanya memberi sedikit makanan.
Polis berkata, dua beradik itu dikurung dalam almari sebagai hukuman di
atas perbuatan mencuri makanan ketika ibu bapa mereka sedang
tidur.
Laporan bedah siasat juga mengatakan, Deshaun mempunyai sejarah kesihatan
yang menunjukkan mangsa mengalami masalah untuk meningkatkan berat badan
dan pernah dimasukkan ke hospital selama dua minggu kerana jangkitan di
bahagian urinari.
Elizabeth memberitahu, Deshaun telah diberi makan banyak tetapi berat
badannya masih gagal meningkat.
Pemeriksa Perubatan, Lawrence Czarnecki mengesahkan Deshaun mati akibat
kelaparan yang sekaligus menjadi kes bunuh di mana keadaan mangsa sangat
kurus sehingga menampakkan tulang kerangka dan hampir tiada lemak badan,
selain matanya tenggelam dan mempunyai lingkaran hitam.
Elizabeth dan Anthony serta Ann Martinez bagaimanapun tidak mengaku
bersalah di atas semua pertuduhan tersebut.
Sumber: Metro.uk